Saturday, July 25, 2009

Inilah Cinta

Inilah cinta

Ada seorang isteri yang sentimental, benar-benar sensitif dan berperasaan halus. Tetapi, semua yang diimpikannya tidak pernah dia perolehi. Suaminya jauh berbeza dari yang diharapkan. Rasa sensitifnya kurang, dan ketidakmampuannya menciptakan suasana romantis mematahkan semua harapan si isteri terhadap cintanya. Suatu hari, si isteri memberanikan diri memberitahu hasrat hatinya kepada si suami, bahawa dia inginkan penceraian.

"Mengapa?" suaminya bertanya dengan nada terkejut.“Saya letih kerana abang tidak pernah cuba memberikan cinta seperti yang saya inginkan.” Si suami terdiam dan termenung sepanjang malam di depan komputernya. Kadangkala dia seperti sedang mengerjakan sesuatu, tetapi sebenarnya tidak. Kekecewaan si isteri semakin bertambah. Jauh di sudut hati, dia begitu terkilan dengan suaminya. Baginya, suaminya itu adalah seorang yang tidak dapat mengekspresikan perasaan, lalu apalagi yang boleh diharapkan?

“Apa yang boleh abang lakukan untuk mengubah fikiranmu?” Akhirnya si suami bertanya.
Si isteri merenung mata suaminya dalam-dalam lalu menjawab dengan perlahan, “Saya ada satu soalan. Sekiranya awak temui jawapannya di dalam hati saya, saya akan mengubah fikiran. Seandainya saya sukakan sekuntum bunga yang ada di tepi lurah sebuah gunung, dan kita berdua tahu jika awak memanjat gunung itu, awak akan mati. Apakah yang akan awak lakukan untuk saya?”

Suaminya termenung dan akhirnya berkata, “Abang akan memberikan jawapannya esok.”
Hati si isteri terus gundah apabila mendengar jawapannya itu.

Keesokan pagi ketika suaminya tiada di rumah, si isteri menemui selembar kertas dengan coretan tangan di bawah sebiji gelas yang berisi hotchoc yang berbunyi, "Sayangku, abang tidak akan mengambil bunga itu untukmu, tetapi izinkan abang menjelaskan alasannya.”
Kalimah pertama itu menghancurkan hati si isteri. Namun, dia masih terus membacanya.

Awak boleh mengetik jari pada keyboard komputer dan selalu mengusik program di dalamnya. Namun apabila akhirnya awak menangis di depan monitor, abang harus meminjamkan jari-jari supaya boleh membantu memperbaiki program tersebut.”

“Awak selalu lupa membawa kunci rumah ketika keluar dan abang harus memberikan kakiku untuk menendang pintu, serta membuka pintu ketika awak pulang.”

“Awak suka berjalan-jalan di shopping complex dan selalu tersasar. Ada ketikanya awak tersesat di tempat-tempat baru yang kita kunjungi. Abang harus mencari awak dari satu lot kedai ke satu lot kedai yang lain dan membawa awak pulang ke rumah.”

“Awak selalu sengal-sengal badan sewaktu ‘teman baik’ awak datang setiap bulan, dan abang harus memberikan tangan untuk memicit dan mengurut badan awak yang sengal itu.”

“Awak lebih suka duduk di rumah, dan abang selalu risau sekiranya awak berasa murung dan sunyi. Abang harus membelikan sesuatu yang dapat menghiburkan hati awak apabila di rumah atau meminjamkan lidah untuk menceritakan hal-hal kelakar yang abang alami.”

“Awak selalu menatap komputer, membaca buku dan itu tidak baik untuk kesihatan mata. Abang harus menjaga mata agar apabila kita tua nanti, abang dapat menolong mengguntingkan kuku dan memandikanmu.”

“Abang akan memegang tanganmu, membimbingmu berjalan menelusuri pantai, menikmati matahari pagi dan kilauan cahaya dari pasir pantai yang indah, dan bercerita kepadamu warna bunga-bungaan yang bersinar dan indah seperti cantiknya wajahmu.”

“Tetapi sayangku, abang tidak akan mengorbankan nyawa hanya semata-mata kerana mahu mengambil bunga itu untukmu. Itu kerana abang tidak sanggup melihat air matamu mengalir menangisi kematianku. Sayangku, abang tahu ada ramai orang yang boleh mencintaimu lebih daripada abang menyintaimu. Untuk itu sayang, sekiranya semua yang telah diberikan oleh tangan, kaki, dan mataku masih tidak mencukupi buatmu, abang tidak akan menahan awak dari mencari tangan, kaki dan mata yang lain untuk membahagiakan awak.”

Air mata si isteri menitis laju membasahi surat si suami, menyebabkan dakwatnya menjadi kabur. Namun si isteri masih terus membacanya lagi.

“Sayangku, sekarang awak sudah tahu jawapan abang. Sekiranya awak berpuas hati dan masih inginkan abang tinggal di rumah ini, tolong bukakan pintu rumah kita. Abang sedang berdiri di luar menunggu jawapanmu. Tetapi sekiranya awak masih tidak berpuas hati, biarkanlah abang masuk untuk mengemaskan barang-barang. Abang tidak akan menyulitkan hidupmu. Percayalah sayang, abang bahagia apabila dapat membahagiakan awak.”

Si isteri terpegun. Kemudian dia memandang pintu rumah mereka yang tertutup rapat. Si isteri segera membuka pintu lalu terlihat suaminya sedang berdiri dengan wajah gusar sambil tangannya memegang coklat dan roti canai kesukaannya. Kini dia tahu, tidak ada orang yang pernah mencintainya lebih daripada suaminya sendiri.

Itulah cinta, di saat kita merasakan cinta itu beransur-ansur hilang kerana si dia tidak dapat memberikan cinta seperti yang diinginkan, maka cinta itu telah hadir dalam bentuk yang tidak pernah dibayangkan. Cinta bukanlah seperti apa yang kita inginkan daripada seseorang, tetapi sebenarnya adalah apa yang diberikan oleh seseorang kepada kita. Janganlah terlalu mementingkan diri sendiri sehingga kita lupa bahawa orang yang mencintai kita telah berkorban untuk membahagiakan kita. Apabila kita kehilangannya kelak, baru kita sedar bahawa dialah orangnya yang selalu menemani dan mencintai dengan sepenuh jiwa, seseorang yang pernah mengisi kekosongan dan kesunyian hati. Selalulah lafazkan ungkapan cinta apabila mahu melafazkannya, kerana belum tentu kita akan dapat peluang sebegitu di lain waktu...

No comments:

Post a Comment